Monday, May 25, 2009

HARAKAH tidak hiraukan kesahihan fakta.

klik pada gambar utk membaca artikel ini


Merujuk kepada artikel di kolum Jejak Pejuang di akhbar Harakah bertarikh 1-3 Mei 2009. Artikel ini adalah mengenai Tuan Guru Mat Saman Kati yang ditulis oleh Mohd Fadli Ghani.

Saya, cucu kepada Tuan Guru Haji Mat Saman Kati ingin menyatakan rasa kesal saya terhadap artikel ini kerana terdapat banyak kesalahan fakta di dalam artikel ini. Oleh itu saya ingin memperbetulkan kesalahan-kesalahan tersebut supaya tidak timbul sebarang salah faham di kemudian hari.

Antara fakta-fakta yang salah adalah seperti berikut :


1. “Haji Mat Saman mempunyai jasa yang besar dalam perjuangan PAS kerana merupakan salah seorang pengasas PAS ketika parti Islam ini ditubuhkan pada 1951”

Tuan Guru Mat Saman Kati bukanlah pengasas PAS sepertimana yang didakwa oleh pengarang walau pun pernah menjadi calon PAS untuk pilihanraya tahun 1969 bagi kawasan Kerian Darat (kini dikenali sebagai Semanggol) dan menjadi Ketua PAS Ranting Kati. Tuan Guru hanya menyertai PAS setelah dipelawa oleh Dr Burhanuddin Al-Helmi pada tahun 1958.



2. “Keluarganya berketurunan Banjar kerana datuk sebelah bapanya berhijrah dari Tanah Banjar di Kalimantan ke Perak pada akhir abad ke-19.”

Tuan Guru Mat Saman Kati bukanlah berketurunan Banjar seperti mana yang didakwa oleh penulis sebaliknya berketurunan Afghanistan. Nama sebenar Tuan Guru ialah Muhammad Saman (asalnya ialah Muhammad Yusuf Khan) bin Mohammad Khan (Mohammad Abdul Karim Khan) bin Muhammad Janu Khan bin Muhammad Abdul Wali Khan. Oleh kerana beliau suka menangis sewaktu usia kecilnya, jadi berdasarkan kepercayaan orang tua-tua dahulu yang mengatakan nama tersebut tidak serasi dengan Tuan Guru, nama Tuan Guru ditukar kepada Muhammad Saman sempena nama datuk sebelah ibunya. Semenjak itulah nama ‘Khan’ yang diwarisi dari keturunan di Afghanistan telah digugurkan dari pangkal nama keturunan Tuan Guru. Setelah menetap di Tanah Melayu, berkahwin dengan rakyat tempatan, keturunan Tuan Guru mempunyai susur galur Patani di Batu Kurau.



3. “antara gurunya termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir”

Untuk makluman pengarang dan pembaca Harakah, Tuan Guru Mat Saman Kati bukanlah murid kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Tuan Guru Mat Saman Kati adalah seorang ulama yang berfahaman Kaum Tua manakala Utaz Abu Bakar Al-Baqir pula berfahaman Kaum Muda yang mana tidak memungkinkan bagi Tuan Guru untuk berguru dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir di atas fahaman yang berbeza ini. Beliau belajar di Madrasah Mariah (nama asal bagi Madrasah Idrisiah) di Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana berguru kepada Sheikh Abdullah Fahim.



4. “Lalu pada awal 1952 beliau berpindah ke Kati dan menjadi mudir di Madrasah Nurul Kamaliah.”

Tuan Guru Haji Mat Saman Kati menjadi Mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati pada tahun 1954, bukan pada tahun 1952 sebagaimana yang didakwa oleh pengarang.



Inilah fakta-fakta yang salah yang terdapat di dalam artikel tersebut yang mana telah pun menimbulkan salah faham terhadap keturunan Tuan Guru Mat Saman Kati.

Namun apa yang kami sekeluarga sebagai waris Tuan Guru Mat Saman Kati paling kesali adalah sikap pihak Harakah yang langsung tidak menghiraukan kesalahan-kesalahan ini dan langsung tiada sebarang pembetulan dilakukan walaupun telah berkali-kali kami menghubungi pihak Harakah sejak dua minggu lepas bagi memperbetulkan kesalahan-kesalahan tersebut.

Panggilan pertama yang di buat oleh ayah saya, Haji Alias Sani bin Muhammad Saman, pada minggu lepas dijawab oleh wartawan Harakah. Setelah ayah saya menerangkan terdapat kesalahan fakta dan memberikan fakta yang tepat, ayah saya diminta meninggalkan nombor telefon supaya mudah untuk dihubungi oleh editor Harakah. Namun sehingga ke hari Rabu, 20 Mei 2009 yang lalu tiada sebarang panggilan yang kami terima. Oleh itu saya menghubungi Harakah buat kali kedua dan dijawab oleh staf Harakah. Saya dimaklumkan bahawa editor tiada dan diminta menelefon semula sejam kemudian, tetapi apabila saya menghubungi Harakah semula sejam kemudian saya diberitahu oleh staf yang sama (berdasarkan pengecaman suara) bahawa editor bercuti, oleh itu saya meminta staf berkenan meninggalkan pesan kepada editor. Pada Khamis, 21 Mei 2009, sekali lagi ayah saya menghubungi Harakah namun diberitahu editor tiada, dan sehingga ke saat ini kami masih tidak menerima panggilan dari editor Harakah dan tiada pembetulan dilakukan oleh pihak Harakah.

Tujuan saya untuk menyiarkan kekesalan ini bukanlah untuk memburuk-burukkan pihak Harakah, tetapi untuk menegur sikap pihak Harakah sebagai sebuah akhbar yang mahu menyampaikan kebenaran supaya lebih peka kepada fakta-fakta yang disiarkan didalam Harakah. Tidak dinafikan kesalahan mungkin berlaku, namun apabila ada pihak yang sudi memperbetulkan kesalahan itu kenapa pula pihak Harakah memandang endah tak endah sahaja. Diharapkan dengan teguran ini Harakah akan lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat. Kami sebagai pembaca mahukan maklumat yang tepat apabila membeli dan membaca sesebuah akhbar. Janganlah dipandang rendah kepada suara pembaca.

Buat pengarang artikel ini pula, saudara Mohd Fadli Ghani, saya begitu teringin sekali untuk mengetahui dari manakah anda mendapat fakta mengenai Tuan Guru Haji Mat Saman Kati ini. Usaha anda menulis di ruangan ‘Jejak Pejuang’ ini amat saya hargai kerana ruangan ini dapat memperkenalkan tokoh-tokoh dahulu kepada anak muda sekarang yang semakin hanyut dibuai arus kemodenan. Ianya adalah suatu usaha yang mulia supaya generasi baru tidak mudah melupakan generasi terdahulu, tetapi, bukankah lebih baik sebelum anda menulis mengenai seseorang pejuang anda mendapatkan bukti dan sumber yang lebih sahih supaya tidak berlaku kesalahan fakta. Di dalam kes ini, anak-anak Toh Paduka Indra Tuan Guru Dato’ Haji Muhammad Saman yang seramai 20 orang dan kesemuanya masih lagi hidup merupakan sumber yang paling sahih untuk anda mendapatkan maklumat. Diharap anda lebih berhati-hati lagi di dalam menulis artikel mengenai pejuang. Dapatkanlah maklumat yang tepat dan benar.

Sekian, wassalam.

Luahan Rasa,
Cucu Tuan Guru Mat Saman Kati

5 komen:

aidilx said...

aku tak paham..Tuk Guru Dato' Haji Muhammad Saman ni tok hang ke?

Husz / Tempe said...

apa yg ko tak paham??

aidilx said...

xda..aritu aku kompius.ingatkan main2..rupa2nya betul, ko cucu Tok Guru

BadrulAndKhairah said...
This comment has been removed by the author.
BadrulAndKhairah said...

i'm glad that someone close to arwah post this. memberi pandangan dan fakta yang betul!! saudari, jika diberi keizinan, boleh kah kami ( researcher student UTP) nak buat sedikit wawancara mengenai Allahyarham Tuan Guru Haji Muhammad Saman di tempat saudari?? jika bole, kerjasama saudari amatlah dihargai.. :)

Post a Comment

Pembaca celoteh ini...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons