Thursday, November 02, 2006

Ketupat Segera Sebabkan Mandul?

PULAU PINANG 1 Nov. – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan bahawa ketupat segera yang dimasak di dalam plastik yang popular sebagai hidangan Hari Raya Aidilfitri boleh mengakibatkan kemandulan dan kanser.

CAP mendakwa, beg plastik yang memiliki bahan polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) digunakan untuk ketupat segera itu direbus selama sejam merembeskan bahan kimia beracun lain iaitu organik mudah terpeluap (VOC) yang membawa kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris berkata, kajian oleh Institut Sains dan Teknologi Bahan Princeton di Amerika Syarikat pada Ogos lalu mendapati VOC daripada paip HDPE merembes ke dalam alam sekitar dan mencemarkan sumber air.

“Bagi ketupat dalam plastik, jumlah yang dirembeskan lebih banyak kerana ia dibiarkan terendam dalam air mendidih selama sejam dan secara langsung VOC telah terserap masuk ke dalam nasi.

“Sehubungan itu, CAP mendesak Kementerian Kesihatan mengharamkan penggunaan HDPE sebagai pembungkus makanan kerana Peraturan Makanan 1985 membenarkan penggunaan bahan itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di ibu pejabat CAP di sini hari ini. Hadir sama ialah pegawai penyelidik pertubuhan itu, Hatijah Hashim.

Ketupat segera kini menjadi pilihan sebahagian besar rakyat negara ini kerana ia mudah disediakan dan tidak memerlukan masa yang panjang untuk memasak berbanding ketupat tradisional.

Terdapat beberapa jenama bahan makanan itu di pasaran dan permintaannya bertambah setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Mohamed Idris menjelaskan, VOC sebenarnya adalah bahan beracun yang dikenal pasti sebagai sebatian yang mengganggu hormon, penyebab kanser dan bahan kimia endoktrin yang berupaya merendahkan jumlah sperma hingga ke tahap kemandulan.

Katanya, kehadiran VOC juga dikaitkan dengan peningkatan risiko asma di kalangan kanak- kanak dan pesakit kanser payu dara.

Jelasnya, pendedahan kepada kepekatan yang rendah sekali pun bahagian persejuta (bps), VOC diketahui meninggalkan kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

“Penggunaan bahan-bahan HDPE ketika ini tidak terbatas kepada ketupat segera sahaja tetapi digunakan oleh penjaja untuk mengisi makanan dan minuman panas secara meluas,” ujarnya.

0 komen:

Post a Comment

Pembaca celoteh ini...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons